Kaji semula ‘unity in diversity’
Kembalilah kepada resepi perpaduan, asimilasi formula terbaik
BANGI, 2 Jamadilawal 1446H, Isnin – Setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan, ternyata perpaduan dalam kepelbagaian – ‘unity in diversity’ – yang diperjuangkan langsung tidak membuahkan hasil dalam usaha mencapai perpaduan.
Natijahnya, setiap kaum semakin kuat mempertahankan semangat perkaumannya, terutama pemimpin parti politik dan NGO Cina, kata Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau berkata, mereka seolah-olah meletakkan bahasa dan sekolah mereka lebih tinggi daripada bahasa kebangsaan dan sekolah kebangsaan.
“Mereka lebih obses kepada orang Cina, Pendidikan Cina dan negara China,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Justeru beliau berpendapat, sudah sampainya, unity in diversity, yang kita bangga untuk dikaji semula, termasuk konsep integrasi yang kononnya diamalkan.
Katanya, kembalilah kepada resepi perpaduan di semua negara di dunia, tidak lain daripada asimilasi, kerana asimilasi adalah formula terbaik untuk perpaduan.
“Jangan pergi jauh, bukti jelas dan ada, lihatlah Cina-cina atau minoriti Cina di Kelantan dan Terengganu. Kehidupan berbilang bangsa di sana seperti adik beradik.
“Perpaduannya amat mantap. Hak-hak mereka begitu dijaga. Tidak perlu lagilah saya membandingkan dengan negara jiran seperti Cina di Thailand dan Indonesia,” katanya.