As-Syahid Yahya Sinwar tidak makan selama 72 jam sebelum dibunuh
Panglima paling berani, abadikan hidupnya untuk Palestin
KISAH bekas panglima perang Taufan al-Aqsa, As- Syahid Yahya Sinwar kini tular di media sosial X, selepas laporan mengenai penemuan kesyahidannya disebarkan media antarabangsa termasuk Quds News Network.
Menurut laporan, Yahya Sinwar dilaporkan tidak makan selama 72 jam sebelum dibunuh oleh tentera Israel ketika bertempur di Gaza.
Laporan itu memetik hasil bedah siasat yang mengesahkan Sinwar tidak makan apa-apa makanan dalam tempoh 72 jam terakhir sebelum kematiannya.
Sinwar terbunuh pada Khamis, 17 Oktober 2024, ketika mempertahankan Gaza daripada pendudukan Israel di kawasan Tal as-Sultan, seperti yang dilaporkan Al-Jazeera.
Berita mengenai pembunuhan Sinwar tersebar di media Israel sebelum disahkan oleh Hamas pada keesokan harinya.
Hamas dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, Sinwar merupakan salah seorang yang paling mulia dan paling berani, seorang lelaki yang mengabdikan hidupnya untuk Palestin dan memberikan jiwanya demi Tuhan di jalan pembebasannya.
Maka Tuhan mempercayainya, dan Allah memilihnya sebagai seorang yang syahid bersama para syuhada’ yang mendahuluinya.
“Kami meratapi pemimpin negara yang hebat As-Syahid Mujahid saudara Yahya Al-Sinwar (Abu Ibrahim),” kata Hamas. – Agensi