UEC hanya merendahkan martabat bahasa Melayu
Iktiraf UEC ibarat satu penderhakaan kepada rakyat
BANGI, 6 Jamadilawal 1446H, Jumaat – Kementerian Pendidikan mesti bertegas dan tidak tunduk dengan sebarang desakan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), meskipun dirayu mana-mana pihak.
Sejak dahulu, semua maklum UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.
Seharusnya, dasar ini harus diyakini rakyat dalam memajukan negara, bukannya diendahkan.
Penasihat Hal Ehwal Strategik ISMA, Ir. Hj. Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan kaum serta mencabar kedaulatan negara.
“Ini sudah pasti membuatkan keharmonian negara terjejas, jurang perbezaan di kalangan kaum akan semakin besar kerana perbezaan silibus dan bahasa.
“Dari segi silibus, UEC mengambil sukatan pelajaran dari Taiwan, tidak releven untuk negara mempunyai dua sistem pendidikan bahkan tidak adil kepada rakyat Malaysia yang setia mengikuti sistem pendidikan negara sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, UEC hanya merendahkan martabat Bahasa Melayu kerana mereka menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
Atas sebab itu, jika UEC diiktiraf ia umpama satu penderhakaan dan penghinaan kepada rakyat, katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Raub (DAP), Chow Yu Hui pernah meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf sijil UEC di bawah sistem ‘direct intake’ tanpa perlu melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau percaya pelajar lepasan UEC berhak dan layak dilayan sama taraf dengan sijil negara asing seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation dengan syarat mereka tidak menerima subsidi kerajaan untuk masuk ke IPTA.