Dunia harus bertindak singkirkan Israel dari PBB
Hukum dan halang pencabulan berulang Israel terhadap Palestin
KUALA LUMPUR, 10 Jamadilawal 1446H, Selasa – Kekejaman dan keganasan Israel terhadap rakyat Palestin sangat melampaui batas kewarasan dan kemanusiaan apabila genosid yang dilakukan telah mengorbankan puluhan nyawa orang awam.
Atas sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat dunia membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Komuniti antarabangsa mesti bertindak pantas. Sebagai langkah segera, kita mesti mendesak seperti yang dilakukan Malaysia pada Perhimpunan Agung PBB pada September lepas untuk mengenakan embargo senjata segera terhadap Israel.
“Demi kepentingan bukan sahaja rakyat Palestin tetapi juga kemanusiaan secara keseluruhan, kita harus menghukum dan menghalang pencabulan berulang Israel terhadap undang-undang dan norma antarabangsa.
“Oleh itu kita perlu membina kesepakatan ke arah menggantung atau menyingkirkan Israel daripada PBB,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara -Islam di Riyadh, Arab Saudi, semalam.
Memetik Bernama, Anwar menegaskan, Israel tidak lagi layak berada dalam komuniti negara-negara bertamadun dan kebiadabaannya menuntut tindakan tegas untuk melindungi bukan sahaja Timur Tengah tetapi juga keseluruhan sistem global.