Sistem pendidikan negara perlu desentralisasi jika mahu segera maju
Lakukan reformasi, tingkat kemahiran dan kebajikan guru-guru
MINGGU ini kita mendengar kenyataan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri mengenai kesediaan KPM untuk memberikan lebih banyak autonomi kepada guru-guru.
Alhamdullilah dan terima kasih. Itu yang saya mahu ucapkan.
Sebenarnya, seawal tahun 2019 lagi, saya sudah membicarakan mengenai perlunya sistem pendidikan negara dilakukan desentralisasi jika mahu segera maju. Sudah banyak contoh dari negara maju yang boleh kita lihat dan bandingkan. Sebahagian besar negara yang maju sistem pendidikan mereka adalah kerana mereka melihat kebaikan dan kelebihan amalan desentralisasi.
Nampaknya kenyataan menteri dan timbalannya mengenai autonomi pentaksiran UASA mengesahkan kepada kita bahawa KPM juga sedang bergerak ke arah desentralisasi pendidikan. Sebelumnya pun, di dalam Intervensi Kurikulum pada April 2024 lalu, guru-guru juga telah diberikan autonomi untuk menjajarkan silibus mengikut keperluan murid masing-masing. Begitulah juga autonomi yang diberikan pada guru-guru di dalam dokumen Tujuh Inisiatif Mengurangkan Beban Tugas Guru pada Mac 2023 tahun lalu. Cuma gerak langkah ke arah desentralisasi yang lebih menyeluruh masih agak perlahan. Tahap keberkesanan pelaksanaan autonomi juga belum jelas kelihatan. Apakah guru-guru di seluruh negara sudah terasa dengan autonomi yang diberikan kepada mereka? Apa pun, kita faham inisiatif semuanya perlukan masa. Sekurang-kurangnya sistem pendidikan kita telah mula bergerak ke arah desentralisasi.
Seperti yang selalu saya sebut sentralisasi pendidikan adalah amalan kolonial. Mereka dahulu ketika menjajah mahu mengawal apa yang diajar pada anak-anak di tanah jajahan. Biar anak-anak yang belajar di tanah jajahan sentiasalah akur dan patuh pada penjajah. Sedangkan, di negara mereka sendiri mereka amalkan desentralisasi. Anda pergi UK dan lihat sendiri bagaimana desentralisasi sudah pun lama dilakukan. Guru-guru mereka sudah diberikan autonomi pengajaran dan penyesuaian silibus. Tiada lagi pemantauan yang ‘berlebihan’ dari pihak luar sekolah. Guru adalah pakar.
Kita sahaja yang masih dalam kepompong akal kolonial. Masih terjajah minda. Mungkin juga kita ‘takut’ guru lebih pandai dari kita. Sebab itu, bila ada guru yang memberi pandangan walaupun pandangan itu benar, selalu dilihat sebagai membangkang dasar. Sebenarnya, walau di mulut kita kata bencilah penjajah, amalan pendidikan mereka kita teruskan juga. Bukankah kita sendiri sebenarnya masih ‘terperangkap’ dan ‘tertawan’ dalam kepompong akal kolonial?
Dunia pendidikan sudah banyak berubah. Hari ini, anak-anak seawal umur 5-6 tahun pun sudah mahir guna ChatGPT. Mereka terbuka untuk belajar apa sahaja yang relevan kepada mereka. Rasa ingin tahu mengerakkan motivasi pembelajaran mereka. Sedangkan kita yang lebih dewasa masih kekal mahu guna buku teks yang ‘mengawal minda’ murid. ‘Kononnya cukuplah belajar apa yang ada dalam buku teks sahaja. Murid cemerlang perlu hafal dan latih tubi. Nanti akan dapat gred A”. Sedangkan kita semua tahu bahawa gred A dari sekadar menghafal jawapan dari buku teks tidak akan mengembangkan potensi dan kreativiti murid-murid. Tetap juga mereka akan ketinggalan berbanding keupayaan anak-anak di negara maju.
Sebab itu, solusinya ialah tingkatkan kemahiran dan pengetahuan guru-guru. Beri mereka autonomi sepenuhnya untuk mengajar mengikut keperluan murid-murid di dalam kelas mereka.
Tugas ‘orang yang di atas’ ialah sediakan sebaik mungkin infrastruktur dan kemudahan pembelajaran yang berkualiti di dalam setiap kelas. Sediakan internet yang laju, smart TV, gajet dan alatan pembelajaran.
Jangan lupa, sediakan bilik guru yang lebih baik dan selesa untuk guru-guru merancang pengajaran. Sediakan juga ruang untuk guru-guru berbincang dengan rakan-rakan bagaimana untuk meningkat kualiti pengajaran.
Hari ini, bila lihat keadaan bilik guru, timbulnya rasa kesian pada guru-guru. Anda tak percaya? Anda boleh pergi dan lihat sendiri keadaan bilik guru di kebanyakan sekolah. Memang menyedihkan.
Formula saya mudah. Kalau nak lakukan Reformasi Pendidikan, mulakan dengan melakukan reformasi kepada keguruan. Tingkatkan kemahiran guru. Tingkatkan kebajikan guru-guru. Pasti isu lain akan ikut berubah kepada yang lebih baik nanti.
Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM