Berita UtamaUtama

Zina antara barah sosial yang semakin mengakar, tanamkan rasa takut pada dosa

Didik remaja isu kesedaran seksualiti dan reproduktif berlandas agama, budaya

BANGI, 10 Jamadilawal 1446H, Selasa – Isu kehamilan luar nikah membabitkan golongan remaja perlu dilihat daripada akar umbi masalah sosial yang lebih mendalam.

Terbaharu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan di negara ini dalam tempoh lima tahun lalu.

Daripada jumlah itu seramai 17,646 remaja tidak berkahwin ketika hamil.

Atas dasar itu, Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA) dan Panel Penggubal ReproAlert!, Dr Siti Sarah Amran berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membentuk generasi yang terpelihara daripada gejala dan tingkah laku yang merosakkan diri.

Pendidikan seksualiti tidak boleh hanya berpusat pada aspek biologi atau pencegahan fizikal semata-mata, ia harus diiringi roh penghayatan agama yang mengajar bahawa tubuh badan adalah amanah, dan perbuatan zina adalah satu dosa besar yang harus dijauhi.

Tambahan pula, konsep pendidikan seksualiti dalam Islam sudah lama diperkenalkan melalui adab dan peraturan yang ditanam sejak anak-anak masih kecil.

“Konsep aurat, adab meminta izin ketika masuk bilik ibu bapa, pengasingan tempat tidur, siapa mahram dan bukan mahram, serta menjaga pandangan adalah prinsip asas – yang bukan sahaja mendidik mengenai batasan fizikal, tetapi juga membentuk kesedaran rohani dalam menjaga maruah diri.

“Ini mengingatkan remaja bahawa kehormatan diri dan batasan dalam pergaulan adalah cerminan iman dan ketaatan kepada Tuhan,” katanya.

Justeru, baginya, isu utama dalam masalah kehamilan luar nikah ini adalah zina.

Katanya, zina adalah barah sosial yang semakin mengakar dan tidak boleh diatasi hanya dengan pendekatan Barat yang berfokus pada pencegahan fizikal tanpa memfokuskan aspek spiritual dan moral.

“Kita memerlukan pendidikan yang menanamkan rasa takut kepada dosa, serta mengimani bahawa Allah sentiasa melihat. Pendekatan ini jauh lebih kukuh untuk menanam kesedaran untuk menghindari zina.

Selain itu, peranan NGO dan sokongan masyarakat sangat penting sebagai pelengkap kepada usaha kementerian dan badan agama.

“Contohnya, inisiatif Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melalui ReproAlert! (Modul Pendidikan Seksualiti dan Reproduktif berasaskan Islam), menggunakan pendekatan yang menyeluruh, dengan menghubungkan aspek perubatan dengan nilai Islam.

“Ini adalah usaha dalam membantu mendidik remaja mengenai kesedaran seksualiti dan reproduktif yang berlandaskan agama dan budaya, tetapi ia juga memerlukan sokongan masyarakat dan pelbagai pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker