Bagaimana nak atasi kemerosotan kritikal murid aliran Sains Tulen?
Apakah kita terpaksa bergantung kepakaran bidang sains tulen dari luar negara?
ANTARA kebimbangan terbesar di dalam sistem pendidikan negara pada masa ini ialah berlakunya kemerosotan yang kritikal murid aliran Sains Tulen.
Berdasarkan kajian pasukan UTM, pada tahun 2010 terdapat lebih 30% murid aliran Sains Tulen di negara ini.
Bagaimanapun, pada 2023, Persatuan STEM Malaysia melaporkan hanya tinggal 15.2% sahaja murid aliran Sains Tulen.
Kemerosotan murid aliran Sains ini akan menyebabkan bilangan doktor, jurutera, ahli farmasi, ahli bioteknologi, saintis dan banyak lagi pekerjaan berasaskan ilmu sains tulen juga akan turut merosot pada masa depan.
Sehingga hari ini, belum ada usaha yang benar -benar jelas dan berkesan bagaimana untuk meningkatkan kembali bilangan murid aliran sains tulen. Sebaliknya, kita sering diwar-warkan kononnya ‘jangan bimbang’ kerana murid aliran STEM telah meningkat lebih 50%.
Jangan hilang fokus. Isu sekarang ialah kemerosotan murid aliran Sains tulen bukannya STEM yang ada berbagai kursus termasuk TVET.
Tidak mungkin pelajar STEM yang ikuti kursus tanaman bunga akan menjadi seorang jurutera mekanikal tanpa mata pelajaran Fizik.
Tidak mungkin pelajar STEM yang ambil kursus rawatan muka dan penjagaan rambut boleh menjadi seorang doktor perubatan tanpa mata pelajaran Biologi.
Jadi, tolong jangan keliru antara isu kemerosotan murid aliran Sains tulen dengan ‘lambakan’ kursus/mata pelajaran yang disumbat dalam bakul STEM.
Jika kemerosotan murid aliran Sains Tulen ini berterusan, apakah kita bersedia untuk mula bergantung pada kepakaran berasaskan bidang sains tulen dari luar negara?
Adakah kita bersedia menerima doktor perubatan dari Vietnam, jurutera dari Pakistan, ahli farmasi dari Bangladesh, ahli sains dari negara India untuk bekerja di negara ini?
Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM