Azmin Azli patut ‘belajar’ dari Prof Kok Seong, tegas tolak UEC
Jangan biarkan ruang perpecahan dalam sistem pendidikan negara
BANGI, 17 Jamadilawal 1446H, Selasa – Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali bahawa beliau telah memberi pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika menjadi Menteri Besar Selangor boleh dianggap pengkhianatan terbesar dalam isu pendidikan negara.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya sudah berulang kali menegaskan pengiktirafan sijil UEC jelas bertentangan dengan prinsip asas dasar pendidikan kebangsaan.
Malah lebih teruk, katanya, UEC ini merupakan titik pemisah antara kaum di negara ini.
Bagi Perkasa, Azmin Ali sepatutnya mempertahankan dasar pendidikan yang berteraskan bahasa Melayu dan memastikan tiada ruang perpecahan dalam sistem pendidikan negara.
“Kera di hutan di susukan tapi anak di rumah kelaparan. Perumpamaan ini sesuai digambarkan dengan apa yang telah berlaku hari ini.
“Bagaimana kita hendak memperkasakan bahasa Melayu jika masih ramai penderhaka yang mahukan sijil UEC terus di iktiraf,” katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Azmin berkata, isu UEC tidak harus dipolitik atau dipersulitkan.
“Soal UEC ini bukan perkara baru bagi saya, ketika saya menjadi menteri besar pada 2014 hingga 2018, dalam tempoh yang singkat saya tidak teragak-agak, dalam 2015 saya telah pun mengiktiraf UEC untuk masa depan negara.
“Mengapa perkara ini harus dipolitikkan? Sedangkan kita tahu ada sekitar 60 sekolah persendirian (Cina) di Selangor (ketika itu), bukanlah satu jumlah yang besar,” dakwanya.
Mengulas perkara itu, Irwan berkata, Azmin Ali sepatutnya belajar daripada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong yang jelas menolak sijil UEC kerana ianya mewujudkan dua sistem aliran pendidikan di negara kita.
“Tapi kita? Senang senang nak iktiraf sijil UEC ini. Perkasa tidak mempolitikkan isu sijil UEC ini tapi mahu melihat sistem pendidikan negara lebih cemerlang di masa akan datang,” katanya.