KPM selesai kajian impak mansuh PT3, UPSR
BANGI, 17 Jamadilawal 1446H, Selasa – Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai melaksanakan kajian terhadap impak keputusan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3, kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Beliau berkata, kajian tersebut telah pun dilaksanakan, tetapi beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai hasil kajian atau bagaimana ia akan dikongsi kepada orang awam.
“Saya telah tekankan banyak kali bahawa kita sudah selesai dengan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kedai buku MPH di Alamanda Shopping Centre.
Beliau menambah, kementeriannya kini memberi tumpuan untuk membangunkan hasil kajian impak tersebut, bagi memastikan hasil kajian diambil kira untuk penambahbaikan di masa hadapan.
“Pada masa ini, komitmen kami adalah untuk memperkukuh penilaian (impak) supaya kita sentiasa melihat ke hadapan dan terus maju,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Mengikut rekod, UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 dibatalkan pada tahun yang sama dan secara rasmi dimansuhkan pada 2022.
Minggu lalu, Fadhlina memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak akan mengubah keputusan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan kini tertumpu kepada pengukuhan sistem peperiksaan akhir sesi akademik (UASA) untuk murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga.