TEL AVIV, 18 Jamadilawal 1446H, Rabu – Ahli Knesset Israel, Ayman Odeh diusir keluar dari dewan perbahasan selepas menggelar Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai ‘pembunuh bersiri keamanan’.
Odeh membacakan statistik mengenai jumlah bayi yang terkorban di Gaza serta menceritakan kisah seorang lelaki yang kediamannya musnah akibat serangan udara Israel.
Situasi getir itu berlaku ketika dia sedang mengambil sijil kelahiran untuk anak kembar barunya, yang turut terbunuh bersama isterinya dalam serangan tersebut.
“Terdapat 17,385 bayi di Gaza dibunuh oleh sistem anda dan 825 daripadanya berusia di bawah 12 bulan. Ada 35,055 bayi menjadi anak yatim piatu di Gaza. Darah korban kekejaman anda akan kekal menghantui anda.
“Tetapi, anda masih lagi persoalkan mengapa anda didakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Apakah visi sebenar anda Netanyahu?,” soal Odeh ketika berucap di Knesset (Parlimen) yang turut dihadiri Netanyahu pada Isnin.
Rakaman video dikongsi Odeh di platform X menunjukkan respons kurang senang beberapa anggota Knesset berhaluan kanan termasuk Netanyahu hingga Speaker, Amir Ohana mengarahkan beliau keluar dari dewan setelah tiga individu cuba mengheretnya dari podium. – Agensi
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.