Tun M sedih pengorbanan Tun Daim tak diiktiraf ketika hidup
Usaha realisasi DEB, beri peluang orang Melayu mula perniagaan peringkat atas
BANGI, 18 Jamadilawal 1446H, Rabu – Seminggu pemergian Allahyarham Tun Daim Zainuddin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi mencoretkan ‘sesuatu’ mengenangkan sahabatnya.
Beliau berkata, ketika ini ramai yang sedang bercerita dan menulis menulis sumbangan bekas Menteri Kewangan itu kepada negara.
Namun, beliau meluahkan kesedihan kerana sumbangan Tun Daim hanya diiktiraf setelah beliau meninggal dunia, malah ada yang tidak menghargai pengorbanannya, termasuk mereka yang pernah dibimbingnya dalam bidang kewangan.
Mengenangkan kisah sahabatnya itu, katanya Tun Daim sudah pun kaya pada tahun 1981, ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Tun Mahathir turut menceritakan bahawa Tun Daim pernah mengalami kerugian besar ketika cuba menjalankan perniagaan garam, tetapi berjaya meraih keuntungan besar dengan membangunkan kawasan Maluri seluas 160 ekar.
Pemimpin berusia 99 tahun itu menyatakan bahawa untuk menjadi menteri, seseorang perlu meninggalkan perniagaan, yang bermakna mereka tidak lagi dapat memperoleh pendapatan daripada perniagaan
“Sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, saya dibayar RM8000 sebulan. Sebagai menteri, gajinya lebih rendah. Jadi, Daim yang menjadi Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991 pasti telah kehilangan banyak wang,” katanya.
Sebelum menjadi menteri, Tun Daim sudah berusaha untuk merealisasikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan memberi peluang kepada golongan Melayu untuk memulakan perniagaan di peringkat yang lebih tinggi, seperti mendapatkan projek kerajaan, kontrak, dan lesen.
“Daim mahu orang Melayu bermula dari atas. Dia memilih beberapa orang Melayu muda.
“Orang-orang ini tidak mempunyai pengalaman perniagaan, modal, atau kemahiran pengurusan. Untuk bermula di atas, dia memberikan projek kerajaan, kontrak, lesen, dan sebagainya.
“Adakah ini penyalahgunaan kuasa? Jika bukan kerajaan, siapa lagi? Sektor swasta!! Adakah orang kaya di sektor swasta akan memberikan kontrak kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak dikenali? Tidak mungkin!,” katanya.
Meskipun DEB tidak mencapai kejayaan yang besar, Tun Mahathir mengakui bahawa beberapa orang Melayu berjaya.
Tanpa sumbangan ini, pertumbuhan ekonomi negara akan lebih tidak seimbang, dan Malaysia mungkin tidak stabil seperti hari ini, katanya.
Tun Mahathir juga mengakui idea Tun Daim tidak berjaya seperti yang dia harapkan.
“Tetapi fikirkan. Bagaimana jika Daim hanya fokus untuk mengkayakan dirinya sendiri?
“Beliau mungkin mengumpul RM50 bilion hari ini. Tetapi sudah pasti beliau tetap didakwa oleh orang sama yang pernah beliau bantu,” katanya.