Berita UtamaDuniaIstimewa

Tiada pertukaran tebusan selagi Israel perang Gaza: Hamas

Tak masuk akal kita serahkan tawanan tapi konflik masih berlanjutan

GAZA, 19 Jamadilawal 1446H, Khamis – Pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Khalil Al-Hayya, menegaskan, tiada sebarang pertukaran tebusan dengan tahanan Israel selagi perang di wilayah Gaza tidak dihentikan.

“Selagi Israel perang Gaza, tiada pertukaran tahanan!,” katanya dalam temu bual yang disiarkan saluran televisyen Hamas, Al-Aqsa, pada Rabu, seperti dilaporkan Reuters.

Menurut Khalil, tindakan menyerahkan tebusan semasa konflik masih berlanjutan adalah tidak masuk akal.

“Bagaimana seseorang yang waras atau tidak waras akan melepaskan kelebihan yang dimilikinya sementara perang masih berlaku?,” soalnya.

Beliau turut menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas kegagalan rundingan setakat ini.

“Realitinya menunjukkan Netanyahu yang menggagalkan rundingan ini,” katanya.

Terdahulu, Netanyahu, ketika melawat Gaza pada Selasa, menegaskan bahawa Hamas tidak akan dibenarkan mentadbir Gaza selepas perang berakhir.

Pemimpin Yahudi itu mendakwa, kekuatan ketenteraan kumpulan itu telah dihancurkan.

Selain itu, Israel masih berusaha mencari 101 tebusan yang dipercayai berada di Gaza dan menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM23.6 juta) untuk setiap maklumat yang membawa kepada penemuan mereka.

Dalam pada itu, Qatar dan Mesir memainkan peranan penting sebagai perantara untuk mencapai gencatan senjata.

Namun, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, pada 19 November lalu, menyatakan usaha mediasi mungkin tergendala jika kedua-dua pihak tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencapai persetujuan.

Hamas mengalu-alukan cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa pentadbiran bersama dengan Fatah, yang diketuai oleh Presiden Mahmoud Abbas, bagi mentadbir Gaza selepas perang.

Namun, persetujuan akhir masih belum dicapai.

Sejak perang tahun 2023, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, hampir 44,000 nyawa terkorban, manakala 103,898 orang cedera.

Serangan ini turut menyebabkan krisis kemanusiaan yang kritikal dengan berjuta-juta penduduk Gaza kekurangan bekalan makanan, air, bahan api, dan kemudahan asas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker