Berita UtamaDunia

Hasrat Israel mahu hapuskan seluruh penduduk Palestin takkan tercapai: Hamas

Israel bohong dakwa benarkan 250 trak bantuan masuk Gaza setiap hari

GAZA, 20 Jamadilawal 1446H, Jumaat – Negara haram Israel berusaha dan berhasrat untuk menghapuskan seluruh penduduk Palestin dari wilayah mereka.

Atas sebab itu, rejim Zionis terus menyerang pelbagai lapisan masyarakat Palestin, termasuk hospital, pasukan pertahanan awam, wanita, kanak-kanak, dan warga emas.

Yakin niat jahat itu tidak akan tercapai, pemimpin kanan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Khalil al-Hayya percaya, rejim Israel akan terus berilusi dengan impian kosong mereka. 

“Kita akan terus berjuang, meskipun rejim berusaha untuk mengosongkan Gaza daripada penduduknya.

“Walaupun mereka mengusir rakyat Palestin demi memenuhi impian membina negara Yahudi Zionis di seluruh wilayah Palestin,” tegasnya.

Kenyataan ini dikeluarkan di tengah-tengah konflik genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023, yang sehingga kini telah meragut hampir 44,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Al-Hayya turut menyatakan bahawa serangan tersebut melampaui batas kemanusiaan dan mengimbau kembali detik hitam dalam sejarah manusia.

Tambahnya, rejim Zionis kini menggunakan kelaparan sebagai taktik tambahan dalam tindakan mereka dengan mendakwa membenarkan 250 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari, sedangkan jumlah sebenar jauh lebih rendah.

Beliau turut mengecam Amerika Syarikat kerana memveto resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan mempercepatkan gencatan senjata.

Tindakan itu, katanya, mencerminkan sokongan Washington terhadap keganasan Israel dan sekatan kejam di Gaza.

Dalam mesej kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, al-Hayya menegaskan bahawa Hamas tidak akan melepaskan tahanan rejim Zionis selagi mereka tidak menghentikan perang.

Beliau menyifatkan Netanyahu sebagai “halangan utama” kepada usaha menghentikan serangan, sambil menyalahkannya kerana menghalang tercapainya perjanjian gencatan senjata sebelum ini.

Al-Hayya juga memberi amaran bahawa Israel bercadang untuk meluaskan peperangan ke luar Gaza, namun, yakin usaha itu tidak mungkin berlaku dan pasti gagal.

“Musuh kini menunjukkan niat sebenar mereka untuk melakukan pemusnahan dan pengusiran, tetapi rakyat Palestin akan terus teguh.

“Pendudukan tidak akan menang melawan kami,” katanya. – Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker