Berita UtamaIstimewa

ICC keluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu, Gallant

Lakukan jenayah perang, kemanusiaan di wilayah Palestin termasuk Gaza

THE HAGUE, 20 Jamadilawal 1446H, Jumaat – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengambil langkah bersejarah apabila mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.

Mereka didakwa atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Menurut Kamar Pra-Perbicaraan I ICC, waran tangkap itu dikeluarkan berdasarkan jenayah yang berlaku dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024, tarikh permohonan rasmi difailkan oleh pihak Pendakwa Raya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, mahkamah turut menolak cabaran Israel terhadap artikel 18 dan 19 Statut Rom secara sebulat suara.

Mahkamah menjelaskan bahawa terdapat “alasan munasabah” untuk mempercayai Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab secara jenayah sebagai pelaku bersama atas jenayah berikut:

  • Jenayah perang: Menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan.
  • Jenayah kemanusiaan: Pembunuhan, penganiayaan, dan tindakan tidak berperikemanusiaan lain.

Tindakan mahkamah ini muncul ketika kempen ketenteraan Israel di Gaza memasuki tahun kedua.

Konflik ini telah menyebabkan kematian lebih 44,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain mencederakan lebih 103,000 mangsa lain.

Serangan tersebut juga mengakibatkan hampir keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Situasi ini mendorong penduduk Gaza ke ambang kebuluran.

Langkah ICC ini dilihat sebagai usaha penting dalam menuntut keadilan bagi rakyat Palestin yang menjadi mangsa konflik yang berlarutan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker