Netanyahu tuduh ICC bersifat anti-semitik
Konon dakwa Israel sedang berjuang dalam perang paling adil
TEL AVIV 20 Jamadilawal 1446H, Jumaat – Tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant – kononnya mendapat bantahan ahli-ahli politik negara haram itu.
Netanyahu didakwa mengeluarkan dua kenyataan rasmi.
Kenyataan pertama dalam bentuk penulisan panjang dari pejabatnya, di mana beliau menuduh ICC bersikap anti-Semitik dan penuh dengan berat sebelah terhadap Israel.
Menerusi satu kenyataan video pula, Netanyahu menyifatkan keputusan ICC sebagai “hari hitam” sambil menolak dakwaan bahawa Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Beliau mendakwa Israel telah menghantar ratusan ribu tan makanan ke wilayah Palestin yang terkepung, meskipun kenyataan itu banyak kali dibuktikan tidak benar.
Keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap itu berkaitan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang didakwa dilakukan di wilayah Palestin, termasuk Gaza, sejak Oktober 2023.