Cara kerajaan tangani rasuah ibarat ‘basmi denggi tanpa musnahkan aedes’
Tak menyeluruh, hanya terhadap penerima rasuah terpilih saja
BANGI, 23 Jamadilawal 1446H, Isnin – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan reformasi Pakatan Harapan tidak holistik dalam memerangi jenayah rasuah.
Ini kerana, katanya, tindakan kerajaan Madani – pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membendung rasuah tidak bersifat menyeluruh daripada akar umbi dan hanya terhadap penerima rasuah yang terpilih sahaja.
“Mereka membebaskan pemberi rasuah yang memberikan kerjasama dan para brokernya yang berkeliaran, tetapi bertindak terhadap segelintir penerima rasuah.
“Tindakan tersebut laksana menghapuskan penyakit wabak denggi dengan bertindak terhadap mangsa jangkitan.
“…namun membiarkan nyamuk Aedes membiak dan membiarkan kalangan pengotor yang menjadi angkara tempat pembiakan nyamuk,” katanya dalam artikel disiarkan Harakah Daily, hari ini.
Beliau menegaskan, rasuah adalah salah satu penyakit madani jahiliah sepanjang zaman, bukan Malaysia sahaja satu-satunya kononnya kerajaan madani seperti yang diperbodohkan, kerana madani ialah tabii manusia mengikut fitrahnya.
Lebih diragukan, parti dan kerajaan yang dalamannya berpenyakit rasuah dalam semua lapisan pemilihannya, sehingga usaha mendapat kuasa juga membawa penyakit ini dalam semua lapisan sehingga rakyat.
“Hal ini laksana menugaskan pencuri menangkap pencuri yang diberikan lesen dan mendapat bantuan pencuri yang lain pula,” katanya.