GAZA, 23 Jamadilawal 1446H, Isnin – Hujan lebat yang melanda Semenanjung Gaza kini memburukkan lagi keadaan penduduk Palestin yang terpaksa berpindah akibat perang Israel yang semakin meruncing, kata Perkhidmatan Pertahanan Awam.
Jurucakapnya, Mahmoud Basal dalam satu kenyataan berkata, berlaku kerosakan teruk pada khemah yang menempatkan ribuan orang yang dipindahkan, dengan air memasuki khemah serta merosakkan barang-barang peribadi dan tilam.
“Keadaan semasa menunjukkan satu bencana kemanusiaan yang serius jika tidak ada campur tangan segera,” katanya.
Beliau merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa untuk segera campur tangan dengan menyediakan khemah dan karavan untuk penduduk yang dipindahkan di Gaza, terutama pada musim sejuk.
Israel telah melancarkan perang genosid ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 44,200 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,500 orang.
Tahun kedua genosid di Gaza ini menerima kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan pelbagai tokoh dan institusi menyifatkan serangan serta sekatan bantuan adalah tindakan sengaja untuk memusnahkan penduduk Gaza.
Khamis lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung perang ganas yang dilancarkan terhadap Gaza. – Agensi