KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1446H, Isnin – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk penangguhan kekal kes pecah amanah jenayah yang melibatkan pembayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Hakim Jamil Hussin berkata, peguam Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, gagal mengemukakan permohonan rasmi untuk penangguhan tersebut.
“Pendakwaan perlu diberi peluang untuk mengemukakan afidavit sebagai jawapan,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Hakim Jamil turut mempersoalkan sama ada mahkamah boleh memberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang dimohon oleh bekas Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, bukannya pihak pendakwaan.
Najib dan Irwan, yang didakwa bersama atas tuduhan pecah amanah, memohon DNAA kerana pendakwaan belum menyerahkan dokumen penting kepada pihak pembelaan.
Peguam K Kumaraendran, yang mewakili Irwan, memohon DNAA pada hari ini, sementara Shafee memohon penangguhan kekal atas alasan bahawa pendakwaan belum menyerahkan dokumen yang diperlukan meskipun ada arahan mahkamah empat bulan lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Saifuddin Hashim Musaimi menjelaskan, pendakwaan tidak dapat mengawal perkara ini kerana deklasifikasi dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi adalah di bawah kuasa kementerian yang berkenaan.
Najib dan Irwan didakwa pada 2018 dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana awam yang sepatutnya dibayar kepada IPIC, sebuah syarikat milik Abu Dhabi.
Hakim Jamil telah menangguhkan prosiding bagi pihak-pihak berkenaan mengemukakan permohonan berkaitan aplikasi DNAA tersebut.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.