Perancis akan laksana undang-undang berkait waran tangkap ICC terhadap Netanyahu
PARIS, 23 Jamadilawal 1446H, Isnin – Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot mengesahkan negara itu akan melaksanakan undang-undang antarabangsa berhubung waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam satu temu bual bersama saluran TV Perancis 3, Barrot berkata, Perancis komited terhadap keadilan antarabangsa dan kebebasan mahkamah.
Namun, Barrot juga menegaskan bahawa setiap kali Israel melanggar undang-undang antarabangsa – termasuk menyekat bantuan kemanusiaan, mengebom orang awam, pemindahan penduduk, serta membina penempatan haram di Tebing Barat – tindakan tersebut harus dikecam dengan tegas.
Apabila ditanya mengenai sokongannya terhadap waran tangkap ICC terhadap Netanyahu, Barrot menjelaskan bahawa beliau tidak boleh meletakkan diri dalam kedudukan mahkamah dalam apa jua keadaan.
Barrot berkata, waran tangkap ICC adalah suatu bentuk “penformalan tuduhan terhadap beberapa ahli politik.”
Berhubung persoalan sama ada Netanyahu akan ditangkap jika mengunjungi Perancis, Barrot menegaskan, “Perancis akan sentiasa melaksanakan undang-undang antarabangsa.”
Pada Khamis lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel dilaporkan telah melancarkan perang genosid ke atas Gaza – yang mengakibatkan lebih 44,000 kematian, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Selain itu, Israel juga terlibat dalam peperangan merentas sempadan dengan Lubnan, melancarkan kempen udara pada penghujung September terhadap sasaran yang didakwa sebagai milik Hizbullah.
Israel kini berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakan ketenteraan mereka di Gaza. – Agensi