NEW YORK, 24 Jamadilawal 1446H, Selasa – Organisasi Arab untuk Hak Asasi Manusia di UK (AOHR UK) menggesa Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) meminta Polis Antarabangsa (Interpol) mengedarkan notis merah yang menyenaraikan individu-individu yang dikehendaki.
Notis tersebut boleh dikeluarkan di bawah Artikel 4 perjanjian yang ditandatangani dengan Pejabat Pendakwa Raya pada tahun 2004 – kerana merupakan langkah penting bagi memastikan pelaksanaan waran tangkap tidak terhad kepada 124 negara anggota ICC.
Seruan tersebut dibuat susulan keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
AOHR UK menyatakan bahawa kedua-dua nama tersebut perlu dimasukkan dalam senarai individu yang dikehendaki bagi notis merah.
Menurut AOHR, keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap ini adalah langkah pertama untuk menghapuskan impuniti yang dinikmati oleh para pemimpin politik dan tentera di negara penjajah selama ini, disebabkan sokongan tanpa had daripada Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah serta negara lain.
“Langkah ini juga merupakan satu penolakan terhadap pemimpin, ahli politik, dan personaliti media di seluruh dunia yang membela Israel,” jelas AOHR.
Sebagai tambahan, banyak negara kini mengumumkan akan memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, kecuali Amerika Syarikat yang tidak menjadi ahli ICC dan mengutuk waran tersebut.
“Terdapat banyak lagi kes yang perlu ditangani oleh pendakwa raya sejak Palestin berada di bawah bidang kuasa mahkamah pada Jun 2014.
“Banyak ahli politik dan pegawai tentera Israel telah melakukan jenayah yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah dan mereka mesti didakwa dengan segera.
“Kehadiran peneroka Israel kini lebih mengancam keberadaan rakyat Palestin, lebih-lebih lagi setelah Menteri Kewangan Bezalel Smotrich mengumumkan bahawa beliau sedang menyediakan dasar untuk menegakkan kedaulatan Israel ke atas Tebing Barat.”
AOHR UK juga menggesa semua negara yang telah memberikan sokongan kepada penjajahan selama lebih setahun di Gaza, termasuk negara-negara anggota ICC, untuk menghentikan sokongan tersebut dalam segala bentuk – sekali gus menumpukan usaha untuk menghentikan perang genosid melalui langkah-langkah praktikal dan tegas. – Agensi
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.