Apa Kata PakarBerita Utama

Siapa bertanggungjawab jadikan UPSR ‘ujian besar’ hingga murid stres?

Matlamat asalnya hanyalah untuk ukur tahap pencapaian kemahiran 3M

PADA tahun 1988, UPSR dimulakan. Tujuan asal UPSR adalah untuk mengukur kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira). UPSR mengantikan Penilaian Darjah Lima yang didapati terlalu ‘exam oriented’ dengan lima mata pelajaran (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah/Geografi, Sains Awalan dan Matematik).

Jadi, bermula tahun 1988, murid-murid sekolah rendah diukur penguasaan asas mereka dalam ujian pencapaian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik. Hanya tiga mata pelajaran ini sahaja. Mata pelajaran Pendidikan Islam serta Alam & Manusia juga diajar di sekolah rendah tetapi tidak disenaraikan dalam UPSR kerana fokus UPSR adalah menguji penguasaan 3M sahaja.

Bagi mencapai maksud 3M, maka bahasa Melayu telah dipecahkan kepada tiga ujian khusus iaitu;

  • Ujian kefahaman Bahasa Melayu untuk mengukur penguasaan BACAAN,
  • Ujian penulisan Bahasa Melayu untuk mengukur Kemahiran MENULIS
  • Ujian Lisan Bahasa Melayu untuk mengukur tahap BERTUTUR

Itu sahaja asal mula UPSR pada tahap 1988. Matlamat asal UPSR hanyalah untuk mengukur tahap pencapaian kemahiran 3M.

Pada tahun 1988, UPSR hanyalah satu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang disetarakan untuk memastikan tidak ada murid yang keciciran 3M apabila mereka masuk ke sekolah menengah. Jika ada yang murid yang masih keciciran 3M, intervensi segera dilakukan sebelum mereka melangkah ke tingkatan satu.

Oleh kerana UPSR 1988 fokus pada penguasaan 3M, maka guru-guru juga ikut fokus pada usaha mempertingkatkan kemahiran 3M murid-murid dalam PDPc. Ibubapa pula akan ikut apa yang guru-guru lakukan.

Maka ibu bapa juga akan fokus membantu anak-anak mereka menguasai 3M ketika di rumah. Ketika itu, semua pihak bersama -sama fokus untuk membangunkan kemahiran 3M murid-murid.

UPSR 1988 bukan peperiksaan besar. Saya masih ingat lagi pada tahun-tahun awal dimulakan UPSR, walau pun esoknya hari pertama UPSR, kawan-kawan saya yang akan menduduki UPSR masih riang ria bermain bola dengan kami di padang.

Jadi siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menjadikan UPSR satu peperiksaan besar sehingga dikatakan telah menyebabkan murid-murid begitu tertekan dan stres?

Adakah berpunca dari guru-guru dan ibu bapa? Saya yakin tidak.

Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker