Pelarian mula pulang ke kediaman ‘musnah’ selepas gencatan senjata
'Rumah kami hancur, tetapi bangunannya masih utuh'
SEJAK dua bulan lalu, Gereja St Francis di Hamra menjadi tempat perlindungan bagi keluarga pelarian dari selatan Lubnan dan Dahiyeh, kawasan pinggir bandar Beirut, yang melarikan diri daripada serangan bom dan serangan darat Israel.
Namun, suasana mula berubah sejak awal pagi Rabu apabila gencatan senjata dikuat kuasakan. Keluarga-keluarga yang berlindung di gereja itu kini sibuk mengemas barang-barang mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
Menurut seorang pelarian, Termos, yang kehilangan kediamannya dalam peperangan ini, gencatan senjata ini memberi kelegaan besar.
“Ia bukan hanya tentang gencatan senjata, tetapi kita berjaya mendapatkan gencatan senjata,” katanya dengan senyuman.
Walaupun apartmennya musnah dalam serangan, Termos tetap bersikap positif.
“Rumah kami hancur, tetapi bangunannya masih utuh,” tambahnya, optimis terhadap usaha untuk memulakan kehidupan baharu selepas melalui dua bulan mimpi ngeri peperangan.
Gencatan senjata ini memberikan harapan kepada ratusan keluarga yang selama ini hidup dalam ketakutan dan ketidaktentuan, membuka ruang untuk mereka kembali membina kehidupan di tanah air mereka sendiri. – Agensi