‘Sakit lain tapi bagi ubat lain’
Banyak lagi isu kritikal yang perlu selesai, tapi yang difikirnya tukar nama universiti
BANGI, 27 Jamadilawal 1446H, Jumaat – “Sakitnya lain, diberinya pula ubat lain!
Demikian respon Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu supaya menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, Universiti Pertanian Malaysia.
Radzi berkata, cadangan menukar nama universiti itu tidak membawa faedah terutama dalam isu yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
“Banyak lagi isu kritikal yang perlu selesai, tapi yang difikirnya nak tukar nama universiti.
“Tolong sampaikan pesanan saya kepada menteri,” katanya.
Semalam, media melaporkan cadangan untuk menukar nama UPM kepada nama asalnya akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Mohamad berkata, beliau sendiri akan membawa cadangan itu ke Mesyuarat Kabinet tidak lama lagi selepas mengambil kira keutamaan negara kini yang tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.