Berita UtamaIstimewa

Ada sebab kenapa mesti pertahankan tanah rizab Melayu

Pemilikan tanah juga adalah simbol kuasa untuk sesuatu bangsa

BANGI, 7 Jamadilakhir 1446H, Isnin – Menjadi kewajipan kepada semua orang Melayu untuk mempertahankan tanah rizab demi kelangsungan masa depan bangsa di tanah air sendiri. 

Ini kerana, tanpa penguasaan tanah, orang Melayu mungkin kehilangan tanah kepada pemaju atau pembeli bukan Melayu yang boleh membawa kepada peminggiran masyarakat Melayu di kawasan bandar dan luar bandar.

Memetik Gelombang Berjasa, masyarakat Melayu perlu sedar bahawa tanah adalah aset ekonomi yang kritikal – bermakna dengan pemilikan tanah, ia membolehkan orang Melayu menjalankan kegiatan pertanian, perladangan, dan perniagaan kecil-kecilan.

Ekosistem perniagaan tani yang kukuh dapat dibina dalam kalangan orang Melayu jika mereka dapat memaksimumkan potensi dalam mengusahakan tanah dengan sebaiknya.

Katanya, tanah rizab Melayu membantu mengimbangi ketidaksamaan pemilikan tanah antara kaum di Malaysia, di mana sejarah penjajahan menyebabkan ramai orang Melayu kehilangan tanah akibat urbanisasi dan pembangunan.

Bukan itu sahaja, pemilikan tanah juga adalah simbol kuasa untuk sesuatu bangsa.

Tanah rizab Melayu adalah tanah yang telah dikhaskan untuk dimiliki, diurus, dan digunakan oleh orang Melayu sahaja.

Ini merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan untuk melindungi hak pemilikan tanah bagi orang Melayu sebagai kaum bumiputera di Malaysia.

Tanah ini telah diperkenalkan melalui Enakmen Rizab Melayu 1913 semasa pemerintahan British di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Selepas kemerdekaan, konsep ini diteruskan dan dilindungi oleh undang-undang setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan pengurusan tanah rizab ini terletak di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker