Berita Utama

Cukai taksiran Selangor naik hingga 25 peratus mulai Januari

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1446H, Isnin – Kerajaan Selangor meluluskan kenaikan sehingga 25 peratus cukai taksiran di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu bermula tahun 2025, meskipun terdapat bantahan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, kadar cukai taksiran baru oleh 12 PBT akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Kerajaan negeri pada bulan Jun mengumumkan rancangan untuk membenarkan PBT menaikkan kadar cukai taksiran, dengan had kenaikan sehingga 25 peratus. 

Namun, pihak berkuasa tempatan juga membenarkan pembayar cukai untuk mengemukakan bantahan terhadap kenaikan tersebut, dan keputusan akhir mengenai kenaikan kadar ditentukan oleh kerajaan negeri.

Memetik The Star, Ng dalam pengumuman kenaikan itu berkata, kerajaan negeri telah menangguhkan pelaksanaan kadar baru sejak 2019, dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi ekonomi semasa.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan pematuhan dan penguatkuasaan yang lebih baik dalam bidang taksiran dan perkhidmatan awam selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], berdasarkan nilai hartanah baru yang perlu disediakan dan diselesaikan oleh semua PBT setiap lima tahun,” kata Ng.

Namun, beliau juga memaklumkan, banyak pihak berkuasa tempatan masih menggunakan kadar yang sudah berpuluh tahun lamanya.

“Senarai penilaian sedia ada bagi Majlis Daerah Sabak Bernam masih menggunakan kadar tahun 1986, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (37 tahun), manakala sembilan lagi PBT masih menggunakan kadar tahunan yang berusia lebih 20 tahun,” kata Ng ketika taklimat mengenai kadar cukai taksiran di Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.

Ng juga menyatakan bahawa pihak berkuasa tempatan menerima 148,000 bantahan daripada pembayar cukai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan tersebut.

“Kami telah menyiasat lebih daripada 287,000 bantahan, dan mengesahkan 230,000 daripadanya,” katanya.

Ng berkata, dengan pelaksanaan had kenaikan 25 peratus cukai taksiran ini, pemilik hartanah akan menerima diskaun sehingga 75 peratus bagi jumlah cukai yang perlu dibayar.

“Sebagai contoh, jika seorang pemilik pangsapuri membayar cukai taksiran sebanyak RM100 setahun pada 2024, dengan penilaian semula hartanah, cukai taksiran sepatutnya RM200 setahun pada 2025.

“Kenaikan ini adalah disebabkan oleh perbezaan kadar sewa yang digunakan dalam menentukan bagaimana cukai taksiran dikira dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Namun, dengan had kenaikan 25 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar pada 2025 adalah RM125,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker