Kembalikan UPSR 1988 supaya kemahiran 3M murid dinilai secara setara
Siapakah sepatutnya bertanggungjawab bila UPSR jadi semakin 'rosak'
UPSR dimulakan pada tahun 1988. Rintisnya telah dilakukan pada tahun 1987. UPSR dilaksanakan hanya setelah selesai rintis. Bukan dimulakan secara semborono sahaja.
Tujuan asal UPSR untuk menilai kemahiran 3M. Jadi, hanya tiga mata pelajaran sahaja diuji dalam UPSR 1988 iaitu;
– Bahasa Melayu (kefahaman, penulisan dan lisan)
– Bahasa Inggeris
– Matematik
UPSR 1988 telah menggantikan sistem Penilaian Darjah Lima yang didapati terlalu ‘exam oriented’ sehingga memberi tekanan pada murid.
Sebab itu istilah yang digunakan pada UPSR 1988 ialah ‘UJIAN PENCAPAIAN’ sahaja dan bukannya ‘peperiksaan’ atau ‘penilaian’.
UPSR ketika awal dilaksanakan tidak memberikan tekanan kepada murid-murid. Ibu bapa juga tidak menjadikan UPSR sebagai alat membandingkan anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain. Sekolah juga tidak ada sistem ‘ranking’ atau Gred Purata Sekolah.
Malangnya, beberapa tahun kemudian ‘kesesatan UPSR’ bermula. Untuk rekod, bukan ibu bapa dan guru yang memulakannya.
Misalnya, mata pelajaran Sains telah diperkenalkan dalam UPSR. (petanda UPSR mula lari dari tujuan mengukur 3M)
Mulai tahun 1995, mata pelajaran Bahasa Inggeris pula dipecahkan kepada kertas 1 dan Kertas 2, dikuti pada tahun- tahun seterusnya untuk mata pelajaran Matematik dan Sains yang juga dipecahkan kepada dua kertas ujian.
Akhirnya, selain ada Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, UPSR juga ada;
- Bahasa Inggeris 1 & Bahasa Inggeris 2
- Matematik 1 & Matematik 2
- Sains 1 & Sains 2
Dari hanya tiga kertas ujian dan satu ujian lisan dalam UPSR 1988 untuk menilai kemahiran 3M, akhirnya telah bertambah sehingga tahun terakhir UPSR dilaksanakan (2019) kepada lapan kertas ujian.
Bukankah jelas UPSR sudah ‘tersesat’ dari tujuan asalnya. Dari hanya untuk mengukur kemahiran 3M murid-murid, UPSR akhirnya berubah menjadi terlalu berorientasikan akademik, menjadi alat perbandingan, dengan kewujudan ranking dan GPS antara sekolah.
Siapa yang bertanggungjawab? Adakah ibu bapa? Atau guru-guru? Atau Mak Cik kantin? Atau pun pakcik tukang kebun sekolah? Siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab sehingga UPSR terpaksa di mansuhkan kerana terlalu menekan murid?
Malah, siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab bila UPSR menjadi semakin ‘rosak’ bila ditambah dengan pelaksanaan KSSR pada 2011 yang silibus di dalam setiap mata pelajaran didapati banyak dan padat, sehingga terpaksa dijajarkan semula oleh KPM melalui program intervensi kurikulum pada April 2024 yang lalu?
Siapa yang gubal UPSR 1988?
Siapa yang ‘sesatkan’ UPSR?
Siapa pula mansuhkan UPSR?
Siapa yang kekalkan pemansuhan UPSR?
Sebab itu kita kena bezakan antara UPSR 1988 dan UPSR yang dimansuhkan pada tahun 2021. Kedua-duanya tidak sama. Malah bertentangan antara satu sama lain.
Keputusan KPM mengekalkan pemansuhan UPSR bukanlah jalan terbaik. Jalan terbaik ialah membawa kembali UPSR 1988 supaya kemahiran 3M murid-murid dapat dinilai secara setara.
Dr Anuar Ahmad
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan UKM