Azmin Ali kini Setiausaha Agung PN, Faizal Azumu sebagai Ketua Penerangan
Gabungan buat ketetapan sertai Pilihan Raya Negeri Sabah
BANGI, 8 Jamadilakhir 1446H, Selasa – Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung gabungan itu.
Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula dilantik sebagai Ketua Penerangan.
Selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula disahkan sebagai Timbalan Pengerusi PN, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota MT PN.
Mohamed Azmin dalam kenyataan malam tadi berkata, mesyuarat MT PN juga membincangkan dan mengambil maklum perkembangan politik semasa di Sabah.
“PN mengambil ketetapan akan menyertai Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan selewat-lewatnya November 2025,” katanya seperti dipetik Bernama.
Katanya, PN Sabah diberikan tanggungjawab untuk membuat persiapan dan perbincangan dalam merangka strategi untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.