Sanusi bebas, lepas pertuduhan hasut berkait Sultan Selangor
Pihak pendakwaan tak bercadang teruskan pertuduhan terhadap ADUN Jeneri
SHAH ALAM, 8 Jamadilakhir 1446H, Selasa – Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu ceramah politik.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Masri Mohd Daud di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak bercadang untuk meneruskan pertuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Bagaimanapun, Sanusi masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah – yang akan dibicarakan 24 hingga 28 Februari depan.
Terdahulu pada September, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Menerusi surat titah yang dimuat naik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.