Berita UtamaDunia

Mahkamah tolak alasan perang, Netanyahu perlu beri keterangan kes rasuah

Nafi salah laku, kononnya dakwa tuduhan bersifat pembohongan semata-mata

TEL AVIV, 10 Jamadilakhir 1446H, Khamis – Perbicaraan rasuah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu  memasuki hari ketiga di Tel Aviv, lapor Anadolu Agency.

Netanyahu hadir di Mahkamah Daerah Tel Aviv untuk membela diri terhadap tuduhan rasuah, penipuan dan pelanggaran amanah.

Dia merupakan pemimpin Israel pertama yang memberi keterangan sebagai defendan jenayah dalam sejarah negara itu.

Perbicaraan diadakan di sebuah bilik bawah tanah yang diperkukuh di Tel Aviv selepas permohonan Netanyahu untuk menangguhkan keterangan atas alasan perang Israel di Gaza ditolak oleh mahkamah.

Mahkamah turut menolak permohonan daripada media Israel untuk menyiarkan keterangan Netanyahu secara langsung.

Menurut akhbar Israel, Haaretz, demonstrasi bertentangan diadakan di luar mahkamah semasa Netanyahu memberi keterangan.

Mahkamah memutuskan untuk mengadakan sesi selama enam jam pada setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis untuk mendengar keterangan Netanyahu mengenai tuduhan terhadapnya.

Tuduhan tersebut berasal dari kes yang dikenali sebagai “Kes 2,000” dan “Kes 4,000”, yang mendakwa Netanyahu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan liputan media yang menguntungkan untuk dirinya dan keluarganya.

Netanyahu menafikan segala salah laku dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai “pembohongan semata-mata”.

Selain itu, Netanyahu juga menghadapi tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap dia dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, pada November lalu berhubung kekejaman di Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker