Apa Kata PakarBerita Utama

Mengapa Israel serang Syria?

Rejim haram terus memusnahkan infrastruktur ketenteraan Syria

APAKAH yang negara haram Israel perolehi dengan menyerang Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad?

Selepas penggulingan Presiden al-Assad, Israel telah mula menceroboh wilayah negara jirannya itu.

Sejak al-Assad melarikan diri ke Russia pada hari Ahad, Israel telah menyerang Syria lebih daripada 400 kali – meskipun mendapat bantahan PBB, rejim tetap melancarkan serangan ketenteraan ke dalam zon penampan yang memisahkan kedua-dua negara sejak 1974.

Dalam beberapa bulan terakhir, Israel telah menyerang negara jirannya, Lubnan dan terus melancarkan perang yang dikutuk sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza yang terkepung.

Tetapi, mengapa Israel kini menyerang Syria?

Israel telah membenarkan serangannya terhadap Syria selama bertahun-tahun dengan mendakwa rejim sedang memusnahkan sasaran ketenteraan Iran. Walau bagaimanapun, Iran mendakwa, tiada pasukan mereka yang berada di Syria pada masa ini.

Kini, Israel mendakwa pula, kononnya mereka menumpukan perhatian untuk memusnahkan infrastruktur ketenteraan Syria.

Israel mendakwa bahawa pihaknya cuba menghentikan senjata daripada jatuh ke tangan “ekstremis”, – gelaran kepada Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan pembangkang utama Syria yang memimpin operasi untuk menggulingkan al-Assad.

Apa yang disasarkan?

Israel mendakwa menyasarkan kemudahan ketenteraan, termasuk gudang senjata, depot peluru, lapangan terbang, pangkalan tentera laut dan pusat penyelidikan.

Israel juga telah mengerahkan unit ketenteraan ke zon penampan sepanjang Dataran Tinggi Golan yang memisahkan Syria dan Israel.

Kawasan ini telah diisytiharkan sebagai zon demilitarisasi secara rasmi sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dikelolakan oleh PBB pada 1974.

Israel menguasai kira-kira dua pertiga daripada Dataran Tinggi Golan, dengan zon penampan yang dikendalikan oleh PBB merangkumi kawasan sempit seluas 400 kilometer persegi (154 batu persegi). Selebihnya dikuasai oleh Syria.

Pasukan keselamatan Syria juga melaporkan bahawa tangki Israel telah mara dari Dataran Tinggi Golan ke Qatana, 10 km (enam batu) ke dalam wilayah Syria dan hampir dengan ibu negara.

Selain daripada lebih 100 serangan di ibu negara, Israel turut melancarkan serangan di Al Mayadin di timur, Tartous dan Masyaf di barat laut, di lintasan Qusayr dengan Lubnan, serta di lapangan terbang tentera Khalkhalah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker