Berita UtamaIstimewa

Zahid bebas 40 tuduhan: Adakah ini bukti pendakwaan terpilih?

AGC kata tiada keterangan kukuh, tapi mengapa didakwa dari awal?

BANGI, 11 Jamadilakhir 1446H, Jumaat – Parti MUDA mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).

Serentak itu, MUDA menuntut penjelasan segera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memikul tanggungjawab penuh atas integriti pentadbiran kerajaan. 

Bagi MUDA, keputusan untuk menggugurkan rayuan ini berdasarkan “representasi Zahid” menunjukkan
kelemahan serius dalam sistem keadilan.

Katanya, AGC menyatakan “tiada keterangan kukuh,“ walhal sebelum ini 40 pertuduhan dibawa ke mahkamah.

“Jika keterangan tidak mencukupi, mengapa ia didakwa pada awalnya?,” soal MUDA. 

Parti itu berkata, kes Zahid ini menguatkan lagi persepsi bahawa pendakwaan kini digunakan sebagai alat politik, yang mana pihak yang menentang kerajaan seperti pemimpin pembangkang terus disiasat dan didakwa manakala sekutu diberi layanan ‘istimewa’.

“Rakyat pandai melihat semuanya. Melihat pemimpin berprofil tinggi seperti Ahmad Zahid bebas tanpa perlu membela diri. sedangkan rakyat biasa dihukum berat walau untuk kesalahan kecil, menunjukkan sistem yang ralat.

“MUDA menyeru pemimpin muda kerajaan untuk tidak terus berdiam diri.

“MUDA kecewa melihat kurangnya suara lantang daripada generasi muda yang seharusnya membawa pembaharuan,” katanya.

Semalam media melaporkan, Ahmad Zahid kekal dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung sistem VLN.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu menerusi panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan terhadap kes tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker